ISNIN, 23 MEI 2022
MIRI: Pengurusan masjid yang efisien membolehkan program dan aktiviti yang dirancang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
Jelas Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat, pengurusan Masjid Darul Ehsan, Piasau Jaya Miri misalnya, telah menunjukkan tadbir urus yang efisien sehingga setiap aktiviti yang dilaksanakan mendapat sambutan menggalakan.
“Masjid ini (Masjid Darul Ehsan) merupakan antara masjid yang paling aktif di dalam menganjurkan program-program keagamaan untuk orang Islam kita dan juga program-program kemasyarakatan dari dahulu lagi hingga sekarang.
“Kita dapat melihat kejayaannya hasil daripada pengurusan yang begitu efisien dan baik sekali dengan peningkatan demi peningkatan dicapai Masjid Darul Ehsan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2022 di Masjid Darul Ehsan, Piasau Jaya Miri pada Ahad.
Dr Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir turut berharap masyarakat Islam terus mengimarahkan masjid ini dan menjadi tempat memupuk perpaduan sama ada bagi masyarakat Islam mahupun bukan Islam.
Dalam ucapannya juga, beliau turut mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM15,000 kepada Masjid Darul Ehsan, Piasau Jaya bagi mengadakan aktiviti tahunan masjid.
Selepas itu, ADUN Lambir itu juga menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masjid Darul Hana, Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir. -EDISI UKAS