Peruntukan RM100,000 Untuk Penganjuran Pesta Kaul Akan Diteruskan

ISNIN, 23 MEI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memberi peruntukan sebanyak RM100,000 setiap tahun sejak tahun 2016 hingga tahun 2019 kepada pihak penganjur untuk menjayakan Pesta Kaul.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II, Datuk Snowdan Lawan berkata, pemberian peruntukan ini akan diteruskan memandangkan negAra telah memasuki fasa peralihan ke endemik.

“Memandangkan kini kita telah beralih ke fasa endemik, Kementerian akan terus menyokong penganjuran pesta serta acara yang terdapat di peringkat Bahagian pada tahun ini.

“Kerajaan melalui kementeriannya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 setiap tahun sejak tahun 2016 sehingga tahun 2019 kepada pihak penganjur untuk menjayakan Pesta Kaul,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Royston Valentine dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Datuk Snowdan berkata, Kerajaan juga telah melancarkan Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak pada 27 April 2022.

“Dana ini diperuntukkan untuk tahun 2022 dengan jumlah sebanyak RM10 juta.

“Penggiat seni dan persatuan bukan kerajaan dan bukan berorientasikan keuntungan boleh memohon dana tersebut untuk penganjuran program, aktiviti dan pembangunan kapasiti sektor warisan, kesenian dan kebudayaan,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau juga menambah, bagi memulihara sambutan Pesta Kaul, Kerajaan akan mewartakan tradisi kaul bersama-sama dengan kepercayaaan dan upacara masyarakat Melanau melalui warisan tidak ketara dalam Ordinan Warisan Sarawak 2019.

Katanya, ia juga akan didokumentasikan dalam format buku dan digital sebagai usaha untuk memulihara warisan tidak ketara yang amat penting kepada masyarakat Melanau dan Negeri Sarawak. –EDISI UKAS

add comment