PJKM Dilanjutkan, Ringankan Beban Masyarakat Sempena Hari Gawai & Hari Kaamatan

ISNIN, 23 MEI 2022

SONG: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kini dilanjutkan sehingga Jun 2022.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, PJKM telah dilanjutkan berikutan permintaan para pengguna bagi mengurangkan beban mereka dalam persediaan menyambut Hari Gawai dan Hari Kaaamatan 2022 yang bakal tiba.

“Semua negara kini sedang menghadapi masalah kenaikan harga yang sudah tentunya memberi kesan yang buruk kepada pengguna dan industri.

“Oleh itu, Kerajaan Malaysia banyak memberi bantuan menerusi pemberian subsidi termasuk makanan bagi membantu rakyat,” jelasnya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Jualan Malaysia “Rancak Hari Gawai” di Perkarangan Waterfront Song pada Sabtu.

Pengisian majlis diteruskan dengan pengumuman senarai sebanyak lapan jenis harga barang kawalan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Gawai Dayak Dan Pesta Kaamatan Yang bermula pada  29 Mei sehingga 4 Jun depan.  

Sementara itu, pada sebelah malam, Dato Sri Alexander menghadiri Majlis Perasmian Mantar Gawai Dayak Daerah Song bertempat di Balai Raya Song.

Beliau turut sempat merakamkan ucapan tahniah kepada Pejabat Daerah Song dan Majlis Guru besar dalam menjayakan program seumpamanya bagi membentuk serta bersama-sama membangunkan Daerah Song setanding dengan Daerah yang lain.

Turut hadir pada Majis Perasmian Mantar Gawai pada malam itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat, ADUN Katibas, Lidam Assan, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Azman Mohd Yusof, Pegawai Daerah Song, Jacklyne August dan Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Song, Sabarudin Maleh. -Edisi UKAS

add comment