Premier Sarawak Rasmi Galeri Warisan Melanau, Oya Pada 28 Mei Depan

ISNIN, 23 MEI 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka merasmikan Galeri Warisan Melanau, Oya pada 28 Mei depan.

Menurut satu kenyataan media pada Isnin, galeri tersebut merupakan satu usaha yang dilaksanakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah bersama Lembaga Amanah Kebajikan Melanau Oya (LAKMO) bagi mengetengahkan budaya dan warisan kaum Melanau terutamanya dari kawasan Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya.

“Galeri ini terdiri daripada dua bahagian utama di mana Galeri 1 memaparkan sejarah awal penempatan di Oya dan juga artifak-artifak berkaitan budaya dan warisan masyarakat Melanau Dalat serta Oya.

“Galeri 2 pula bakal mempamerkan ekonomi, amalan kebudayaan, tempat-tempat menarik dan tokoh-tokoh tempatan masyarakat Melanau,’’ jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya, Galeri Warisan Melanau itu turut akan menyediakan pakaian tradisional untuk kegunaan para pengunjung mengambil gambar sebagai kenangan.

Sementara itu, katanya, orang ramai turut berpeluang menghadiri beberapa program sampingan di sekitar Oya yang akan diadakan untuk memeriahkan lagi  suasana perasmian galeri tersebut.

“Antaranya termasuk Pameran Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, Pameran dan Jualan Barangan Kraftangan, Pameran Booth Komuniti, serta acara ‘Belangger Meja’ yang juga dianjurkan bersempena dengan penghujung Syawal ini.

Ujar kenyataan tersebut, perasmian Galeri Warisan Melanau, Oya itu akan menjadi titik permulaan bagi pembukaannya kepada orang ramai.

“Pada masa sama, ia akan menjadi satu ikon baharu bagi Daerah Kecil Oya dan seterusnya mengetengahkan budaya dan warisan masyarakat Melanau di persada dunia,’’ jelasnya. -Edisi UKAS

add comment