SELASA, 24 MEI 2022
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memperkasakan lagi pengurusan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol memberitahu, cadangan telah diberikan kepada SSM untuk mewujudkan modul latihan bagi melatih ahli lembaga pengarah serta setiausaha-setiausaha syarikat yang berkaitan.
“Latihan tersebut bertujuan memperkasakan kemahiran pihak pengurusan tertinggi, sekaligus meningkatkan prestasi syarikat masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) selepas menghadiri Majlis Salam Aidilfitri SSM di sini pada selasa.
Sementara itu, Pengarah SSM Cawangan Sarawak, Ramle Leen, kolaborasi ini akan dilaksanakan melalui pusat latihan SSM iaitu COMTRAC.
Dalam perkembangan lain, tambahnya, Pengarah SSM telah mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan usahawan terutama badan-badan korporat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
“Antara inisiatif itu termasuk pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus bagi pembatalan nama syarikat serta perlanjutan tempoh pendaftaran SSM BizTrust di mana tiada sebarang caj akan dikenakan untuk pendaftaran oleh mana-mana perniagaan,” ujarnya.
Majlis ramah tamah tersebut yang bertujuan mengeratkan lagi silaturahim bersempena dengan sambutan Aidilfitri itu telah disertai sekitar 100 orang termasuk penjawat awam Persekutuan dan Negeri serta wakil-wakil dari badan korporat. -Edisi UKAS