NGO Dayak Digesa Fahami, Libatkan Diri Dalam PCDS 2030

SELASA, 24 MEI 2022

BETONG: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dayak perlu memahami semua program di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata NGO Dayak perlu mengenal pasti perkara-perkara relevan serta menasihati masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berkaitan yang boleh memanfaatkan mereka.

Katanya, masyarakat akan ketinggalan dalam arus pembangunan negeri jika kurang faham serta tidak melibatkan diri dalam PCDS 2030.

“Ini akan menjadi masalah seperti dahulu di mana ada yang mendakwa masyarakat diabaikan secara sengaja. PCDS 2030 boleh dimanfaatkan oleh semua rakyat Sarawak tidak kira kaum, agama, latar belakang mahupun tempat asal.

“PCDS 2030 merupakan idea yang dicetuskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg demi menjadikan Sarawak sebuah wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Strategi yang berlandaskan data, teknologi serta inovasi itu mensasarkan kesejahteraan dan juga peningkatan kualiti hidup rakyat di samping menaiktaraf kualiti kemudahan pendidikan di sini,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong Tahun 2022 dengan tema ‘Beserakup Segulai Sejalai’ di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II menambah masyarakat Dayak juga harus mempunyai minat dan juga komitmen untuk melibatkan diri dalam usaha membangunkan negeri Sarawak.

Mereka boleh mengumpulkan aset dan sumber di samping menggunakan kecerdikan yang dimiliki golongan kaum Dayak, katanya lagi.

Dalam majlis itu, Datuk Amar Douglas telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Jawatankuasa Pengelola Program Sambutan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2022.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Layar, Dato Gerald Rentap Jabu dalam ucapan aluannya menyeru masyarakat mengekalkan perpaduan.

Beliau juga mahu masyarakat mengutamakan pendidikan anak-anak, merebut peluang ekonomi, mengenal pasti potensi masing-masing serta memanfaatkan bantuan dari kerajaan.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas, Mohamad Razi Sitam dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.-EDISI UKAS

add comment