Operasi Sistem ART Kuching Akan Dilakukan Pada Tahap Automasi Separa

SELASA, 24 MEI 2022

KUCHING: Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) untuk Bandar Kuching akan beroperasi pada Tahap 2 iaitu automasi separa berdasarkan definisi oleh Persatuan Jurutera Automotif (SAE).

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin menjelaskan, sistem itu membolehkan kenderaan mengawal kedua-dua kelajuan dan kedudukan lorong kenderaan.

“Terdapat enam tahap pemanduan autonomi berdasarkan definisi oleh Persatuan Jurutera Automotif (SAE) iaitu Tahap Sifar yang mana tiada automasi, bermakna pemandu mengawal sepenuhnya kenderaan pada setiap masa.

“Tahap 1 ialah di mana bantuan pemandu diperlukan untuk melakukan semua pemanduan tetapi dengan beberapa bantuan asas daripada kenderaan dalam beberapa situasi seperti brek kecemasan automatik atau pemusatan lorong.

“Tahap 2 ialah di mana terdapat automasi separa di mana kenderaan boleh mengawal kedua-dua kelajuan dan kedudukan lorong kenderaan dalam situasi terhad manakala Tahap 3 ialah automasi bersyarat di mana kenderaan berada dalam kawalan penuh dalam situasi tertentu, memantau jalan dan lalu lintas dan akan memaklumkan pemandu apabila mereka mesti mengawal.

“Tahap 4 pula ialah di mana terdapat automasi yang tinggi dan kenderaan boleh melakukan semua pemanduan di bawah hampir semua keadaan tanpa sebarang perhatian pemandu.

“Akhir sekali, Tahap 5 iaitu automasi penuh di mana kenderaan boleh memandu dalam semua keadaan tanpa campur tangan manusia,” katanya semasa berucap dalam sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 pada Selasa.

Sementara itu, Dato Sri Lee mendedahkan sehingga kini, kerja-kerja awal yang dilakukan untuk projek ini yang meliputi kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar dan Kajian Kesan Sosial dan Warisan serta kerja-kerja pra-kejuruteraan seperti kerja-kerja penyiasatan tanah dan ukur telahpun selesai.

“Pada masa ini, Skim dan Reka Bentuk Terperinci masih dalam proses manakala pelaksanaan Reka Bentuk dan Pakej Bina kini sedang dilakukan.

“Bagi urusan pengambilan tanah bagi projek ini, ia akan dilakukan secara berperingkat bermula pada suku ketiga tahun ini,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menjelaskan, projek ART tersebut terdiri daripada dua laluan iaitu laluan Samarahan dari Rembus ke Hikmah Exchange sepanjang 28 kilometer yang melalui 14 stesen dan laluan Serian dari Batu 12 ke Isthmus sepanjang 24 kilometer melalui 13 stesen.-EDISI UKAS

add comment