SELASA, 24 MEI 2022
KUCHING: Sarawak mesti memanfaatkan potensi besar ekonomi digital yang sangat luas menjelang 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini merekodkan pendapatan e-dagang sebanyak RM279 Bilion pada tahun 2020 dan menunjukkan peningkatan sebanyak 17.1 peratus dalam suku ketiga tahun 2021.
Malah katanya, e-dagang telah menyumbang sebanyak 11.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020 berbanding 8.5 peratus pada tahun 2019.
“Oleh itu, kita di Sarawak mesti memanfaatkan potensi besar ekonomi digital yang sangat besar sehingga menjelang 2025 yang akan diramalkan menyumbang kepada kira-kira 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia yang bersamaan sebanyak USD 25 trilion,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Dan Mantar Gawai Dayak Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) pada Isnin.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, bagi mengukuhkan lagi ekonomi digital, rakyat negeri ini seharusnya peka dengan teknologi baharu seperti Artificial Intelligence (AI), 5G, Internet of Thing (IoT), Cloud, Block Chain, Big Data serta teknologi terkini dalam mencapai sasaran Sarawak menjadi negeri maju pada tahun 2030.
“Jadi sebab itulah saya selepas pilihan raya menubuhkan Kementerian Utiliti ditambah dengan Telekomunikasi bagi menekankan kepentingan telekomunikasi dalam kita mentransformasi ekonomi dengan menganalisis data untuk membangunkan masa depan,”
Sementara itu, dalam majlis tersebut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari selaku Pengerusi SMA turut menyampaikan sumbangan Kelab SMA kepada tiga Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) iaitu PPDK Gedong, PPDK Sri Satok dan PPDK Betong iaitu sebanyak RM5,000 bagi setiap pertubuhan.
Turut hadir memeriahkan majlis berkenaan ialah Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS