Isu Kenaikkan Kos Pengangkutan dan Logistik Bukan Hanya di Sarawak

RABU, 25 MEI 2022

KUCHING: Isu peningkatan kos pengangkutan dan logistik bukan hanya di Malaysia atau Sarawak tetapi juga di seluruh dunia.

Menjawab isu yang diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan merangkap Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen pada Selasa, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata isu kenaikkan kos pengangkutan dan logistik berpunca daripada pandemik COVID-19 dan isu ketegangan geo-politik terutamanya melibatkan peperangan antara Ukrain dan Rusia.

“Paling penting harga minyak daripada USD80 setiap setong pada 2019 telah naik kepada USD112.8 setong pada 25 Mei 2022.

“Memandangkan isu ini tidak berlaku kepada Sarawak sahaja, sebagai wakil rakyat bagi DUN Padungan dan Parlimen Stampin seharusnya mengutarakan isu tersebut di dalam Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini,” jelasnya dalam sidang media selepas membahaskan Usul Penghargaan  Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Persekutuan telah memberi subsidi bahan api diesel kepada pengusaha kargo darat termasuk dari Sarawak sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kesan kenaikkan kos pengangkutan dan logistik.

“Kami sedang meneliti dan perlu mengkaji perkara tersebut bersama mereka dalam industri logistik dan ini adalah cara Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertindak untuk melibatkan diri dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu untuk mengetahui isu sebenar daripada membuat kenyataan menyeluruh untuk mendapatkan publisiti murahan.

“Pendekatan ini tentunya berbeza dengan gaya Ahli Yang Berhormat Padungan di mana telah berjanji pada masa lalu tetapi gagal ditunaikan semasa berada dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai Timbalan Menteri.

“Sebagai contoh, janjinya mengenai royalti minyak dan gas akan dikekalkan pada lima peratus dan Sarawak akan mendapat 20 peratus daripada keuntungan minyak sebagai tambahan dan 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di Sarawak akan pulang ke Sarawak,” tegasnya lagi.

Jelasnya lagi, Kementerian Pengangkutan Sarawak juga telah mengadakan penglibatan berterusan bersama pemain industri pengangkutan terutamanya daripada syarikat logistik dan penghantaran dan melalui platfrom khas iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak yang akan diadakan pada Jun 2022 bagi membincangkan isu tersebut.

Mengulas lanjut, berdasarkan Indeks Harga Pengguna bagi Mac 2022 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia, Dato Sri Lee berkata Sarawak adalah antara tiga negeri yang mencatatkan kenaikan terendah dalam inflasi pada 1.7 peratus iaitu di bawah purata nasional pada 2.2 peratus.

“Ia adalah penting untuk diperhatikan bahawa Pulau Pinang negeri di bawah pentadbiran DAP yang mencatatkan peningkatan inflasi pada 2.2 peratus,”ujarnya.-EDISI UKAS

add comment