Kajian Terhadap Penemuan Tiga ‘Klirieng’ Di Tatau Masih Diteruskan

RABU, 25 MEI 2022

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan giat melaksanakan kerja melindungi dan memelihara ‘klirieng’ atau tiang kubur yang ditemui di Sungai Penyarai, Tatau.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya bekerjasama rapat dengan pihak yang berkaitan bagi mempercepatkan pelaksanaan kajian terhadap penemuan tiga ‘klirieng’ tersebut.

Jelas Dato Sri Abdul Karim, beliau percaya bahawa penemuan ‘klirieng’ berkenaan membawa nilai sejarah yang tersendiri dan ditempatkan di bawah Program Perlindungan Warisan.

“Dari maklumat yang saya dapat, ‘klirieng’ ini dilempar ke dalam sungai kerana membawa nasib malang pada suatu ketika dahulu.

“Penemuan ‘klirieng’ yang menampakkan ukiran pada kayu belian tersebut adalah susulan musim kemarau yang melanda baru-baru ini di mana keadaan sungai yang cetek dan pihak muzium telah dihantar untuk melakukan penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini pada Rabu.

Tambah Dato Sri Abdul Karim, kajian terperinci akan dilakukan bagi menentukan perincian yang berkaitan dengan penemuan ‘klirieng’ berkenaan. -EDISI UKAS

add comment