Kerajaan Sarawak Komited Tangani Isu-Isu Sosial Utama, Lestarikan Institusi Keluarga

RABU, 25 MEI 2022

KUCHING: Dalam dunia yang mencabar ini, Kerajaan Sarawak komited menangani isu-isu sosial utama dan melestarikan institusi keluarga demimengukuhkan keharmonian, kesejahteraan dan keterangkuman sosial. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementerian sedang melaksanakan sokongan sosial bersepadu dan campur tangan dalam masyarakat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) 2030.

“Bagi golongan gelandangan, kerajaan telah memutuskan untuk mewujudkan Tempat Transit Selamat atau Tempat Transit Gelandangan (TTG). 

“Satu kini beroperasi di Sibu, yang diuruskan oleh sukarelawan. TTG seterusnya ialah di Kuching, Bintulu dan Miri,” katanya ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu. 

Tambah Dato Sri Fatimah lagi, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti juga memperjuangkan pendekatan bersepadu, kolaboratif dan holistik yang melibatkan agensi kerajaan, organisasi swasta dan komersial, NGO, dan dermawan dengan menubuhkan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) di Kuching dan pusat-pusat serupa juga akan didirikan di Sri Aman, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Lawas.

Turut ditubuhkan Pusat Pembangunan dan Intervensi Masyarakat (CDIC) khusus untuk kumpulan yang terjejas akibat penyalahgunaan bahan di Bau, Sibu, Dalat, Bintulu, Subis, Miri dan Limbang.-EDISI UKAS

add comment