RABU, 25 MEI 2022
DARO: Sebanyak RM136,000 peruntukan telah disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi kepada 16 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertempat di Balai Raya Kampung Tengah Daro pada Ahad.
Cek berjumlah RM126,000 itu diserahkan kepada 16 JKKK manakala sebanyak RM10,000 diserahkan kepada dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) di dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2022 anjuran Kampung Tengah, Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Mu’min dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Tengah.
Dalam pada itu, Safiee berkata kesepakatan di antara JKKK dan badan NGO dalam kampung memberikan kelebihan kepada kampung itu untuk mengadakan majlis seperti itu bagi memberi ruang kepada beliau beramah mesra dengan peduduk walaupun agak sibuk dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19.
Jelasnya lagi, banyak perubahan telah berlaku pada Kampung Tengah di mana usaha pembinaan Balai Raya walaupun terdapat sedikit halangan serta projek-projek jalan, baikpulih rumah dan sebagainya.
Oleh itu, beliau sempat berpesan kepada pihak JKKK untuk memanfaatkan sumbangan berkenaan untuk membantu penduduk kampung dengan mengadakan aktiviti dan program.-EDISI UKAS