215 Kertas Siasatan Pelbagai Kesalahan Hutan Telah Dibuka Sejak Tahun 2020 – April 2022

KHAMIS, 26 MEI 2022

KUCHING: Sebanyak 215 kertas siasatan telah dibuka sejak tahun 2020 hingga April 2022 yang melibatkan pelbagai kesalahan hutan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II menjelaskan, daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes masih dalam siasatan pihak Jabatan Hutan Sarawak serta 160 kes telah dikemukakan ke Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) dan Kamar Peguam Besar Negeri (SAG). 

“Dari jumlah ini, sebanyak 40 kes dikategorikan sebagai No Further Action (NFA), lima kes telah disabitkan dengan kesalahan, 14 kes telah dikompaun, 10 kes masih lagi dalam proses perbicaraan manakala baki 91 kes masih dalam pelbagai peringkat siasatan. 

“Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak RM1,340,783 kompaun telah berjaya dikutip,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.

Beliau berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sarawak komited untuk membanteras pembalakan haram dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang hutan di negeri ini dengan menubuhkan Pasukan Gerak Khas Pembanterasan Pembalakan Haram.

“Pasukan ini berperanan untuk menyelaras pelaksanaan semua operasi bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan.

“Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak turut menggunakan pelbagai teknologi terkini seperti hiperspektral, imej satelit, Sistem Revlog, Revlog Mobile Application dan Continuous Monitoring and Surveillance (COMOS) untuk memantau kawasan hutan dan mengesan kegiatan pembalakan haram,” tambah beliau lagi.

Bagaimanpun beliau menyeru semua pihak untuk bekerjasama menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang meragukan berlaku di kawasan masing-masing.

“Ini bagi membolehkan tindakan awal dapat diambil untuk aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang yang menyebabkan kemusnahan ekosistem hutan dan ketirisan hasil kepada Kerajaan Sarawak,” ujar beliau lagi.-EDISI UKAS

add comment