KHAMIS, 26 MEI 2022
KUCHING: Soal status tanah tidak seharusnya menjadi isu atau halangan untuk pihak yang berkenaan melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf sekolah daif yang tersebut.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini Kerajaan Sarawak menerusi Majlis Perancangan Negeri (MPN) telah meluluskan 359 projek sekolah daif.
“Setakat ini daripada 359 projek sekolah daif yang telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri, 121 projek sekolah telah selesai isu status pemilikan tanah kerana telah diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).
“Manakala, bagi 238 projek sekolah daif yang belum selesai status pemilikan tanah kepada PTP, syarat kelulusan khas telah diberi dengan membenarkan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan lebih awal (early commencement) dengan syarat ianya menepati piawaian perancangan termasuk keperluan Pihak Berkuasa Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Pelagus, Engkilili, Ngemah, Tamin dan Balingian semasa membentangkan sesi penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.-EDISI UKAS