ADUN Layar Serah Sumbangan Gawai Kepada 100 Penerima Di DUN Layar

KHAMIS, 26 MEI 2022

BETONG: Seramai 100 penerima dari rumah panjang sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar menerima sumbangan Gawai daripada Pusat Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong.

Penyerahan sumbangan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu pada Ahad.

Berucap ringkas dalam majlis itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong yang banyak membantu golongan memerlukan.

Malah katanya, pertubuhan sama juga tidak ketinggalan memberi sumbangan kepada para ibu yang melahirkan anak di Hospital Betong.

Dalam pada itu, Dato Gerald Rentap turut menyempurnakan penyerahan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai bagi meringankan beban rakyat yang menyambut Hari Gawai tidak lama lagi.

Beliau turut berkesempatan melawat Bazar Gawai di tapak Pasar Tamu Lama, Betong.

Turut hadir, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas, Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong, Chan Chu Chu,Temenggong Masyarakat Cina Betong, Temenggong Kueh Tu Teck, Pemanca Masyarakat Iban Betong, Norman Ngumbang dan tetamu jemputan. -EDISI UKAS

add comment