Ekonomi Sarawak Diunjur Berkembang Lima Hingga Enam Peratus Pada 2022

KHAMIS, 26 MEI 2022

KUCHING: Ekonomi Sarawak diunjur berkembang antara lima hingga enam peratus pada tahun 2022.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, kerajaan menjangka bahawa negeri akan menjurus ke arah langkah pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sempadan negara, pertumbuhan berterusan dalam sektor luar,  serta pemulihan aktiviti domestik pada tahun ini.

“Dari segi permintaan, aktiviti perdagangan di sini merekodkan jumlah peningkatan sebanyak 26.6 peratus dari RM77.2 bilion pada 2020 ke RM100.26 bilion pada 2021.

“Aktiviti eksport berkembangan sebanyak 29.9 peratus yang didorong oleh peningkatkan eksport bahan-bahan gas asli cecair (LNG), petroleum mentah, minyak sawit mentah, produk petroleum, aluminium, serta Ferro Aloi,’’ katanya.

Beliau menjelaskan demikian semasa sesi penggulunggannya dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, jumlah pelaburan swasta telah meningkat sebanyak 7.3 peratus pada 2021 di mana Sarawak telah memperoleh RM7.1 bilion bagi pelaburan dalam sektor pembuatan untuk tahun itu.

“Manakala, pelaburan awam berkembang sebanyak 18.2 peratus pada tahun sama disebabkan peningkatan pelaksanaan projek-projek infrastruktur di seluruh Sarawak,’’ ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Premier berkata, perbelanjaan pengguna telah berkembang menerusi pelbagai bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan persekutuan dan juga pemberian pakej-pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) oleh kerajaan negeri. -Edisi UKAS

add comment