Sarawak Usaha Wujudkan Ekosistem Sempurna, Kembangkan Ekonomi Baharu Berasaskan Hidrogen

KHAMIS, 26 MEI 2022

KUCHING: Sarawak akan mewujudkan ekosistem yang sempurna di mana ekonomi baharu berasaskan hidrogen dapat berkembang maju.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini adalah sejajar dengan usaha menjadikan negeri sebagai perintis di Asia Pasifik bagi meneroka, menginovasi serta menghasilkan hidrogen hijau.

“Dalam pada itu, kita perlu terus merangsang pelaburan dalam fasiliti serta infrasktruktur hidrogen di mana saya percaya, ia sekaligus mampu mengurangkan kos pengeluaran hidrogen serta meningkatkan permintaan bagi sumber tersebut,’’ ujarnya.

Beliau menjelaskan demikian semasa sesi penggulungannya dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menjelaskan, sebagai contoh, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah bekerjasama dengan beberapa syarikat dari negara Korea Selatan bagi membangunkan sebuah loji hidrogen dan ammonia hijau yang mesra alam di Bintulu.

“Setelah mula beroperasi pada masa depan, loji tersebut akan mampu menghasilkan 630,000 tan metrik ammonia hijau, 600,000 tan metrik ammonia biru, serta 220,000 tan metrik hidrogen hijau di mana 7,000 tan metrik adalah untuk kegunaan domestik manakala yang selebihnya akan dieksport ke Korea Selatan,’’ tambahnya.

Dalam pada itu, Premier Sarawak mengulas lanjut, aspek pembangunan baharu ini akan mempelbagaikan lagi sumber-sumber eksport negeri yang antaranya pada masa kini termasuk eksport minyak dan gas tradisional. -Edisi UKAS

add comment