Galeri Warisan Melanau Ketengah Adat Kaum Melanau Kepada Generasi Muda

ISNIN, 30 MEI 2022

MUKAH: Pewujudan Galeri Warisan Melanau, Oya adalah satu usaha yang sangat baik dalam mengetengahkan adat budaya kaum Melanau terutama kepada generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata kebanyakan generasi muda belum memahami atau belum tahu secara keseluruhan berkaitan adat budaya kaum Melanau.

“Jadi dengan adanya geleri ini, banyak perkara, peralatan yang dipamerkan di sini di mana ianya dapat menunjukkan kepada generasi muda kita apa itu warisan yang perlu kita warisi, apa yang kita perlu tahu berkaitan adat budaya kita.

“Galeri ini juga bukan sahaja berperanan memperagakan keunikan dan kekayaan adat Melanau kepada kaumnya sahaja malah juga kepada kaum-kaum lain,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) semasa Majlis Perasmian Galeri Warisan Melanau oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Oya pada Sabtu.

Dalam ucapannya, Premier Sarawak menjelaskan pembinaan bangunan Galeri Warisan Melanau, Oya adalah sebagai pusat untuk mempromosikan budaya Melanau di samping mewujudkan peluang ekonomi melalui sektor pelancongan dan pemeliharaan sejarah berkaitan kaum itu.

Fasa 1 pembinaan galeri itu bermula pada 2 Januari 2019 dan siap pada 4 Januari 2021 dengan menelan kos sebanyak RM2,955,118 di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Manakala fasa kedua projek itu bermula pada 2 April 2021 dan siap pada 17 November 2021 dengan kos sebanyak RM1,452,660,70.

Galeri itu mengambil konsep bangunan zaman kolonial yang menampilkan ciri-ciri masyarakat Melanau. 

Ia menempatkan Galeri 1 dan 2 yang mempamerkan artifak serta bahan sejarah yang disumbangkan oleh individu di Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya.

Selain itu, ia turut menempatkan pejabat Galeri Warisan Melanau, Oya, Pejabat Lembaga Amanah Kebajikan Melanau Oya (LAKMO) dan PERKIM. – EDISI UKAS

add comment