ISNIN, 30 MEI 2022
GEDONG: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah majlis daerah bagi kawasan Gedong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, perkara tersebut dirancang berikutan terdapat keperluan bagi daerah Gedong mempunyai majlis daerah tersendiri yang dapat mengurus tadbir aktiviti-aktiviti pembangunan di kawasan tempatan.
“Setelah pusat pentadbiran siap didirikan di kawasan Gedong yang kini telah dinaik taraf sebagai sebuah daerah, seterusnya kita akan menubuhkan Majlis Daerah Gedong di mana pemimpin-pemimpin tempatan akan dilantik sebagai kaunselor dalam majlis itu.
“Dengan ini, mereka boleh bantu dalam perancangan dan pelaksanaan sebarang aktiviti pembangunan di daerah ini dengan lebih berkesan,’’ katanya pada Majlis Sambutan Mantar Gawai Peringkat Daerah Gedong 2022 di Dewan RTC Ulu Gedong pada Ahad.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong menjelaskan, daerah itu berpotensi menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mewujudkan keselamatan makanan di negeri ini.
“Ini akan dilaksanakan melalui pembangunan rangkaian jalan raya yang akan menghubungkan Gedong ke Samarahan, kawasan lapangan terbang dan kawasan juga Sejingkat di mana sebuah pelabuhan baharu bakal didirikan, sekaligus membolehkan hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh masyarakat tempatan menerusi tanah yang dimiliki dapat dieksport dengan lebih mudah ke kawasan lain,’’ tambahnya.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mengulas lanjut, pewujudan keselamatan makanan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada barangan import di mana harga berkaitan kian meningkat disebabkan nilai wang ringgit yang sedikit lemah pada ketika ini.
Manakala, Premier Sarawak turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM400,000 melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) masing-masing bagi dua buah gereja yang bakal dibina di kawasan Ulu Gedong.
Jelasnya, pada awalnya dana sebanyak RM500,000 masing-masing telah diperuntukkan untuk Gereja Seventh Day Adventist Kampung Batu Pengasah dan Geraja St Mark Chapel Gayau, namun, beliau dimaklumkan bahawa peruntukan tambahan masih diperlukan akibat isu kenaikan harga bahan binaan.
Pada majlis tersebut, beliau juga menyampaikan watikah pelantikan kepada tujuh penerima.
Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir. Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan, Awla Dris, ADUN Tupong merangkap Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Residen Samarahan, Brahim Lumpu, serta Wakil Tugas Khas Kepada ADUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais. -Edisi UKAS