Projek Berimpak Tinggi Tingkat Taraf Hidup Rakyat Di Luar Bandar

ISNIN, 30 MEI 2022

SARIKEI: Keprihatinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan melaksanakan projek berimpak tinggi di kawasan luar bandar telah banyak membantu dalam usaha menaikkan taraf hidup rakyat termasuk di Sarikei.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii memberi contoh pembinaan Jambatan Passi dan laluan baharu ke Tanjung Manis bakal membawa manfaat besar kepada rakyat di situ.

Sekali gus katanya, ia membuktikan dasar Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mengutamakan rakyat Sarawak dengan menunaikan janji dan menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada segenap lapisan rakyat.

Bercakap semasa Majlis Makan Dragon Boat Festival pada Ahad, Dato’ Sri Huang berkata beliau akan terus menyokong dan membantu persatuan Cina di Sarikei selagi beliau menjadi wakil rakyat.

Selain itu katanya, beliau telah berusaha memohon peruntukan daripada kerajaan untuk menaiktarafkan prasarana sekolah-sekolah di kawasan Repok tidak kira sekolah rendah atau menengah.

Dalam majlis tersebut, Dato’ Sri Huang telah menyumbangkan sebanyak RM5000 masing-masing kepada Persatuan Foochow, Persatuan Kwong Wai Siew dan Persatuan Chiang Chuan.

Pada sebelah malam, beliau berkesempatan menyertai Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Surau Nur Permai.

Dalam ucapannya, beliau berkata Surau Nur Permai telah mendapat peruntukan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM1.1 juta sejak tahun 2019 hingga 2022.

Tambah beliau, penganjuran majlis itu dapat mengukuhkan semangat kekeluargaan dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sarikei.

Dato’ Sri Huang kemudian menyumbang sebanyak RM3000 untuk penganjuran majlis tersebut dan RM6000 untuk program korban. – EDISI UKAS

add comment