SELASA, 31 MEI 2022
KUCHING: Suasana santai dalam perayaan Gawai menjadi wadah untuk masyarakat Dayak bertukar fikiran dan pendapat dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan iltizam kaum Dayak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di dalam Perutusan Sempena Gawai Dayak 2022 pada Selasa berkata, ini membolehkan ke arah penglibatan mereka lebih aktif dalam proses pembangunan negeri ini.
“Kaum Dayak mempunyai aset yang besar dalam bentuk pemilikan tanah yang harus diberi keupayaan untuk menjana pendapatan dengan membangunkannya dari segi pertanian atau agroforestry atau keusahawanan yang lain.
“Pendek kata, ceburilah bidang pertanian sebagai suatu perniagaan supaya ia mampu memberi keuntungan kepada saudara dan saudari,” katanya.
Dalam pada itu, menjelang sambutan Hari Gawai pada 1 Jun ini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Gawai 2022 kepada rakan-rakan dan anak Sarawak berketurunan Dayak yang menyambut Gawai pada tahun ini.
Beliau juga menggesa masyarakat untuk terus kekal dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Gawai supaya kekal sihat, berhati-hati ketika mengunakan kenderaan darat atau air serta selamat sampai ke destinasi masing-masing.
Sementara itu, dalam ucapan sama, tegas Premier Sarawak lagi, Kerajaan Sarawak meletakkan komitmen tinggi dan sentiasa memainkan peranan utama bersama komuniti sejagat bagi mengekang perubahan iklim dunia sejajar dengan Perjanjian Paris.
Untuk tujuan itu, pindaan terhadap Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Ordinan Perhutanan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini adalah langkah ke hadapan ke arah pengurangan gas-gas rumah hijau.
Ujar beliau lagi, pindaan ordinan tersebut bertujuan menyediakan kerangka perundangan bagi menguruskan stok karbon yang tersimpan pada inventori hutan negeri ini.
“Saya yakin langkah ini akan membuka laluan kepada negeri kita untuk terlibat dalam perniagaan karbon atau carbon trading yang berpontensi memberi pulangan hasil kepada Sarawak.
“Pindaan kepada Kanun Tanah Negeri juga merupakan langkah ke hadapan bagi mempersiapkan Sarawak untuk terlibat dalam aktiviti mengekang pertambahan gas karbon dioksida di udara yang menjadi penyebab kepada kenaikan suhu pada iklim dunia melalui teknologi Carbon Capture and Storage (CCS),” ujarnya.
Tambah beliau, keperluan menyediakan tempat dalam perut bumi bagi tujuan menstor gas yang dihasilkan industri sebelum ianya dilepaskan ke udara juga akan memberi peluang kepada Sarawak untuk mendapatkan pulangan hasil yang agak lumayan.
Dalam memperkukuhkan ekonomi negeri ini bagi tempoh 5 tahun akan datang, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yakin langkah-langkah yang telah diperkenalkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, termasuk langkah-langkah terbaharu akan menambahkan lagi hasil Sarawak.
“Sekarang ini Sarawak mempunyai rizab kewangan yang terbesar antara negeri-negeri dan pertambahan kepada simpanan negeri ini harus dilaburkan semula sebahagiannya untuk memberi pulangan hasil untuk memberi manfaat kepada generasi akan datang melalui sebuah dana yang dinamakan ‘sovereign wealth fund’,” ujarnya.
Jelasnya, ordinan itu membolehkan penubuhan dana tersebut yang bermodelkan antaranya Government Pension Fund Global Norway yang akan dibentangkan pada persidangan DUN November hadapan dan akan mula beroperasi pada tahun 2024.-EDISI UKAS