Pelbagai Kemajuan Dinikmati Penduduk Daerah Limbang

SELASA, 31 MEI 2022

LIMBANG: Penduduk di Daerah Limbang telah banyak menerima kemajuan hasil daripada peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak menerusi wakil rakyatnya.

Demikian menurut Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

“Dengan peruntukkan RM5 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk setiap wakil rakyat dan bantuan peruntukan dari Ahli Parliman Limbang, banyak projek dapat dilaksanakan untuk memajukan Daerah ini,” katanya semasa berucap dalam Program Ziarah UKAS – Ngabang Gawai 2022 di Rumah Rumpang Bali pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, segala permohonan yang telah dikemukakan Tuai Rumah akan diambil tindakan berpandukan peruntukan yang sedia ada dan mengutamakan projek-projek yang benar-benar diperlukan oleh penduduk Rumah Rumpang Bali itu.

Sementara itu Datuk Dr Abdul Rahman berkata, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota akan memaklumkan kepada agensi-agensi yang berkenaan iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Majlis Daerah Limbang (MDL) untuk melihat permohonan-permohonan yang tidak melibatkan peruntukan dari wakil rakyat untuk dilaksanakan dengan kadar yang segera seperti membersih dan memperelok perparitan di hadapan rumah panjang bersebelahan Jalan Utama.

Selain itu itu, beliau turut menyeru para penduduk yang berminat dengan tanaman Musang King, Black Tone dan Tupai King untuk berjumpa dengan pihak Jabatan Pertanian bagi mendapatkan maklumat terkini dan seterusnya memohon sekiranya benih-benih durian tersebut ada di Limbang.

Dalam majlis itu juga, beliau telah menyempurnakan penyampaian sumbangan 28 kotak air berkarbonat kepada 28 buah bilik yang ada di Rumah Rumpang Bali. -EDISI UKAS

add comment