Pembangunan Infrastruktur Asas Di Pulau Bruit Terus Diperjuangkan

SELASA, 31 MEI 2022

SEMOP: Pembangunan infrastruktur asas seperti jalan perhubungan, bekalan air dan bekalan elektrik di Pulau Bruit akan terus diperjuangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dalam usaha memajukan kawasan tersebut.

Menurut Datuk Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), kawasan Pulau Bruit masih memerlukan banyak pembangunan termasuk termasuk infrastruktur asas berbanding kawasan lain.

Berucap semasa Majlis Ramah Tamah Sambutan Hari Raya Aidilfitri N.42 Semop di Balai raya Kampung Salah Kecil pada Isnin, beliau menuntut kerjasama daripada penduduk di kawasan itu untuk turut sama dengan mereka memajukan Pulau Bruit.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penduduk di situ untuk tidak mendengar hasutan daripada pihak luar yang berkepentingan yang boleh menggugat perpaduan kawasan itu.

Sementara itu, Ir Yusuf berkata wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah melupakan rakyat di kawasan pedalaman dalam usaha membawa pembangunan.

Katanya, kemenangan besar GPS pada PRN lepas juga membuktikan keyakinan rakyat kawasan ini kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sejurus selepas itu, Datuk Abdullah bersama Yusuf menyertai Majlis Ramah Tamah Sambutan Hari Raya Aidilfitri N.42 Semop di Dewan Kampung Betanak yang disertai kira-kira 200 tetamu.

Dalam ucapannya, Datuk Abdullah berkata sebanyak RM360,000 telah diperuntukkan bagi membina jalan perhubungan daripada jalan besar ke kawasan itu dibawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2022.

Pada sebelah petang, beliau dan Yusuf memeriahkan Majlis Ramah Tamah Sambutan Hari Raya Aidilfitri N.42 Semop bagi Kampung Penibong dan Penuai di Dewan Kampung Penibong.

Beliau turut menyumbangkan RM5000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Penuai bagi melaksanakan aktiviti.

Pada masa sama, beliau berharap majlis seperti itu dijadikan sebagai landasan untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara semua penduduk di kawasan itu.

Antara yang hadir isteri ADUN Semop, Datin Nora Asyikin Ibrahim dan Timbalan Ketua Cawangan PBB N.42 Semop, Rudy Suib. – EDISI UKAS

add comment