Seminar Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak Dedah Kefahaman Perundangan Syariah

SELASA, 31 MEI 2022

SIBU: Seminar Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak dan Majis Pelancaran Jurnal Mahkamah Syariah Edisi Khas telah diadakan bertempat di Dewan Kompleks Islam Sibu pada Isnin.

Program dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dan Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Jelasnya, tugas utama seorang hakim adalah memastikan keadilan dilaksanakan berdasarkan hukum dan undang-undang yang diperuntukkan.

“Justeru dalam memastikan keadilan ini terpelihara, adabul qadhi ini hendaklah sentiasa dijaga dan dipatuhi agar tiada prasangka dan keraguan dalam keputusan seseorang hakim.

“Pada zaman ini, di mana masyarakat memerlukan pencerahan terhadap isu-isu semasa yang berkaitan perundangan dan kehakiman, seorang hakim atau Pegawai Syariah perlu menyesuaikan diri dalam menyampaikan maklumat bersesuaian dengan jawatan tanpa menjejaskan integriti hakim dan institusi kehakiman syariah,” katanya.

Menurutnya, objektif penganjuran seminar adalah memberikan asas kefahaman perundangan syariah di kalangan masyarakat, memperkenalkan fungsi dan peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dalam melestari undang-undang keluarga dan meningkatkan kefahaman dan kesedaran ilmu faraid untuk mengelakkan pertikaian selepas kematian ahli waris.

Dalam pada itu, Pelancaran Jurnal Mahkamah Syariah Edisi Khas Jurnal juga akan menjadi rujukan penghakiman syariah kepada Hakim Syarie, Pengamal Undang-undang dan orang awam secara khususnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti II, Mohamad Razi Sitam dan Ketua Hakim Syarie Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Datu Awang Suhaidi Ledi.-EDISI UKAS

add comment