SELASA, 31 MEI 2022
LIMBANG: Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) meneruskan program ziarah UKAS @komuniti bersempena dengan sambutan Gawai di sini pada Jumaat.
Program ini dilakukan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Belimbing, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Ukong dan Unit SABERKAS Kampung Engkasing.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Jimmy Ngindang Bau berkata, program ini adalah medium untuk menyantuni masyarakat dengan agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan.
“Melalui program ini, ia akan membudayakan semangat saling bekerjasama dan memupuk ikatan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya semasa berucap mewakili ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.
Aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan adalah bergotong-royong membersihkan kawasan sepanjang jalan masuk dan persekitaran kampung.
Dalam pada itu, seramai 14 ketua isi rumah di Rumah Bety Gu telah menerima sumbangan hamper Gawai daripada UKAS yang disempurnakan oleh Pegawai Khas ADUN Batu Danau.-EDISI UKAS