KHAMIS, 2 JUN 2022
SIMUNJAN: Program Ziarah UKAS @ Komuniti Ngabang Gawai 2022 disambut meriah khususnya bagi masyarakat Dayak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan.
Program anjuran Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) pada Isnin itu diisikan dengan aktiviti gotong-royong bersama penduduk rumah panjang Kampung Ensengei Iban pada sebelah pagi manakala pelbagai persembahan telah diadakan seperti ‘Kuntau’ yang merupakan seni mempertahankan diri kaum Iban oleh masyarakat di situ.
Dalam pada itu, Pegawai UKAS Bahagian Samarahan, Azzrie Mohamad Jeman turut hadir menyempurnakan program itu sekaligus meluahkan rasa teruja dan semangat di atas sambutan hebat dan penuh tradisi yang diberikan oleh penduduk kampung tersebut.
Tambahnya lagi, didikan kepada generasi baharu dapat memupuk dan mengekalkan tradisi dan warisan budaya masyarakat kaum Iban serta ia tidak akan hilang walaupun kini sudah berada di zaman yang penuh teknologi ini.
Pada program tersebut, turut diadakan simbolik penyerahan kotak UKAS Ngabang Gawai kepada Tuai Rumah, Minchong Pakal.
Turut hadir bagi memeriahkan progam ini adalah Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 4 Rangawan, Rafendy Ariffen, Tuai Rumah dari Kampung Terasi Iban, Andy Ranga, dan Ketua Kaum Hamzah Samsawi dari Kampung Terasi Ulu.-EDISI UKAS