Program Ziarah UKAS @ Komuniti Ngabang Gawai Meriah

KHAMIS, 2 JUN 2022

REPOK: Lebuh 100 orang hadir memeriahkan Program Ziarah UKAS @ Komuniti Ngabang Gawai 2022 yang diadakan di Rumah Anthony di sini pada Selasa.

Majlis itu diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii yang kemudiannya mengagihkan 100 kotak ‘Door Gift’ kepada para tetamu.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Huang merakamkan penghargaan ke atas Unit Komunikasi Dan Penerangan Sarawak (UKAS) kerana menjayakan program berkenaan.

Katanya, program seperti itu harus diteruskan kerana ia mampu menjalinkan hubungan silaturahim yang baik antara rakyat negeri ini yang berbilang kaum dan agama.

Terdahulu, Dato’ Sri Huang hadir pada majlis Sambutan Pra Gawai 2022 bertemat di Rumah Clement, Rumah Keli, Rumah Setia yang dihadiri kira-kira 250 tetamu.

Dalam majlis itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk di situ kerana menghadiahkan kemenangan dengan majoriti 7308 undi kepadanya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lepas.

Tambah beliau, kawasan DUN Repok mengalami banyak perubahan dari segi pembangunan selepas diterajui Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. – EDISI UKAS

add comment