Kapit Miliki Banyak Kawasan Tarikan Pelancong

JUMAAT, 3 JUN 2022

KAPIT: Bahagian Kapit memiliki banyak kawasan tarikan pelancong yang boleh dipromosikan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri.

Ketua Masyarakat Melayu Song, Penghulu Sulhi Ojek berkata Hutan Simpanan Lanjak Entimau, Rumah Jelatong di Empangan Bakun, Safari Rakit Baleh dan Pesta Dabai Song antara tarikan pelancongan yang ada di Kapit.

Malah katanya, ada banyak lagi kawasan-kawasan menarik di Kapit yang boleh diangkat sebagao destinasi pelancongan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan pemilihan Kapit sebagai tuan rumah Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Peringkat Negeri Tahun 2022 sangat bertepatan dalam mengetengahkan bahagian itu sebagai destinasi pelancongan.

“Secara tidak langsung, melalui pelancongan ini akan dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

“Bagi membolehkan tempat-tempat menarik dan produk pelancongan di Kapit dikomersialkan, pembinaan jalan raya akses ke semua tempat dan kampung perlu disediakan supaya tempat tersebut dapat dihubungi oleh pelancong,” katanya ketika ditemuramah Unit Komunikasi Dan Penerangan Sarawak (UKAS) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Penghulu Kawasan Mujong Daerah Bukit Mabong, Penghulu Linggi Maseng berharap kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kapit dapat membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di situ.

Katanya, warga Kapit amat bertuah kerana diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri sebagai tuan rumah penganjuran majlis tersebut walaupun Kapit terletak jauh di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Melayu Kapit, Pemanca Abang Hamzah Abang Bolhasan, berkata penganjuran majlis ini memperlihatkan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Di kesempatan ini, saya ingin menyeru semua warga Kapit supaya datang beramai-ramai untuk menjayakan program ini,” katanya.

Sambutan yang akan diadakan pada 5 hingga 6 Jun ini turut dihadiri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Pengisian program dimulakan dengan Majlis Kesyukuran Sambutan Keputeraan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 5 Jun, jam 6 petang bertempat di Masjid Jabal An Nur Kapit.

Manakala pada 6 Jun akan diadakan Majlis Jamuan Teh bertempat di Town Square Kapit pada jam 9 pagi disusuli dengan Majlis Okestra pada jam 8 malam di venue sama. – EDISI UKAS

add comment