JUMAAT, 3 JUN 2022
BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu menyeru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar memperhebatkan pemantauan harga barang khasnya di Betong lebih-lebih lagi di musim perayaan.
Selain itu, beliau juga memohon KPDNHEP memantau bekalan barangan keperluan di Betong ini agar sentiasa mencukupi.
Dato Gerald berkata demikian semasa merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) bagi mewakili Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Pasar Tamu Baru Betong baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata PJKM adalah salah satu inisiatif kerajaan melalui KPDNHEP dan ADUN di kawasan Parlimen Betong iaitu beliau sendiri, ADUN Bukit Saban Datuk Amar Douglas Uggah, ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam dan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat.
PJKM Betong diadakan dari 28 hingga 29 Mei lepas menerusi kerjasama KPDNHEP, Pejabat FAMA Negeri Sarawak, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Sarawak dan Nam Leong Department Store.
Pada sebelah malam, Dato Gerald berkesempatan merasmikan majlis ‘Welcoming & Thanksgiving Dinner’ di Gereja St Augustine, Betong.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau menekankan betapa pentingnya pembangunan rohani lebih-lebih kepada golongan remaja dan belia.
Justeru katanya, penting bagi pihak gereja mendekati remaja dan belia dari sisi rohani agar sahsiah mereka terbentuk dengan baik. – EDISI UKAS