Penduduk Gembira Dan Teruja, Sambutan Hari Keputeraan YDP Agong Diadakan Di Kapit

JUMAAT, 3 JUN 2022

KAPIT: Pemilihan Bahagian Kapit sebagai tuan rumah Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Peringkat Negeri Tahun 2022 pada hujung minggu ini disambut baik oleh penduduk setempat.

Tinjauan Unit Komunikasi Dan Penerangan Sarawak (UKAS) mendapati rata-rata penduduk teruja kerana ia julung kalinya acara tonggak anjuran Kerajaan Negeri diadakan di kawasan luar bandar lebih-lebih lagi di bahagian Kapit.

Bagi Ketua Masyarakat Kaum Iban Kapit, Penghulu Ugak Esop, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memberi peluang kepada Bahagian Kapit menjadi tuan rumah majlis besar-besaran itu.

Katanya, melalui penganjuran program tersebut akan membantu mengetengahkan Kapit kepada orang luar.

Sementara itu, tuai rumah kawasan Pelagus, Tuai Rumah Sekudan Abor turut berbangga kerana Kapit dipilh sebagai tuan rumah sambutan kali ini.

“Sebagai anak jati Kapit, saya amat berbangga kerana kerajaan telah memilih kawasan luar bandar di Kapit ini. Secara tidak langsung program ini akan menarik orang luar ke sini.

“Kami di Kapit menyokong sepenuhnya program yang dianjurkan kerajaan negeri ini agar Kapit akan lebih dikenali dan akan mengeratkan hubungan rakyat di sini dengan kerajaan pusat,” katanya.

Bagi Penghulu Kawasan Oyan Daerah Bukit Mabong, Penghulu Alan Tubam, beliau berharap kedatangan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke situ dapat mengeratkan lagi hubungan antara Sarawak dan Semenanjung serta melonjakkan lagi ekonomi penduduk di Kapit.

“Berkaitan pembangunan di Kapit memang ada pembangunan tetapi belum cukup.

“Justeru kami berharap terutamanya kepada Perdana Menteri untuk memberi kami lebih lagi pembangunan,” katanya.

Majlis yang akan diadakan pada 5 hingga 6 Jun ini turut dihadiri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Pengisian program dimulakan dengan Majlis Kesyukuran Sambutan Keputeraan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 5 Jun, jam 6 petang bertempat di Masjid Jabal An Nur Kapit.

Manakala pada 6 Jun akan diadakan Majlis Jamuan Teh bertempat di Town Square Kapit pada jam 9 pagi disusuli dengan Majlis Okestra pada jam 8 malam di venue sama. – EDISI UKAS

add comment