Premier Sarawak Utamakan Kepentingan Semua Kaum

JUMAAT, 3 JUN 2022

BETONG: Visi ekonomi baru dan ekonomi digital yang diperjuangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg adalah untuk kepentingan semua kaum di negeri ini.

Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, pindaan Rang Undang-Undang Hutan yang diluluskan pada persidangan DUN Ke-19 yang lalu, memberi Sarawak kuasa untuk memanfaatkan hutan bakau yang merupakan simpanan karbon untuk penghasilan tenaga.

“Semua ini dapat menambahkan pendapatan dan meningkatkan hasil negeri Sarawak demi untuk kemakmuran bersama.

“Begitu juga dengan pengwujudan Dana Berdaulat, dari segi jangka masa panjang, ianya adalah demi masa depan generasi akan datang,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Raya Tahun 2022 di Dewan Tan Sri Jabu, SMK St Augustine Betong pada Khamis.

Beliau yang juga ADUN Layar berkata, penganjuran majlis rumah terbuka itu yang disertai masyarakat berbilang kaum termasuk dari luar kawasan Betong sangat baik dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat di Sarawak.

Tambah beliau, perpaduan ini memberi suasana yang kondusif di dalam usaha terus memajukan negeri Sarawak.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat serta isteri Datin Claudia Regina Janting dan isteri Dato Gerald, Datin Rosemarie Wong. – EDISI UKAS

add comment