Mohammad Razi Dukung Warisan Seni Mempertahankan Diri Demi Masa Depan

SABTU, 4 JUN 2022

BETONG: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam menyuntik sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Rumpun Silat Sarawak (RSS) Negeri dan RM15,000 kepada RSS Wilayah Betong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berkata demikian dalam Majlis Tautan Kasih Aidilfitri Citra Keluarga Malaysia anjuran RSS Betong baru-baru ini.

Tambah beliau dalam ucapannya, masyarakat harus berpandangan lebih serius dalam tujuan memastikan seni mempertahankan diri dikekalkan untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang selain daripada menjadikan Seni Silat tersebut sebagai salah satu acara olahraga.

“Kita mengharapkan agar Rumpun Silat Sarawak di peringkat negeri akan terus kukuh.

“Kita sedia maklum, Premier Sarawak kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abg Jo sentiasa memberi sokongan terhadap usaha kita untuk memastikan Warisan Seni Silat ini akan dipertahankan sampai bila-bila,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohammad Razi dalam ucapannya juga berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan oleh Persatuan Rumpun Silat Sarawak dalam merancakkan lagi program yang berkaitan dengan Seni Silat di samping merapatkan serta menyatukan bangsa dalam seni mempertahankan diri tersebut.

Turut hadir Timbalan Presiden RSS Dato’ Mohammad Yusnar Matalie, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Tautan Kasih Aidilfitri merangkap Pengerusi RSS Wilayah Betong Mohammad Khalik Jerni dan Temenggung Piee Alwi.-EDISI UKAS

add comment