Sambutan Acara Tonggak Promosi Kapit Kepada Dunia Luar, Pacu Ekonomi Tempatan

SABTU, 4 JUN 2022

KAPIT: Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini kembali diadakan secara fizikal setelah dua tahun negara menghadapi penularan wabak COVID-19.

Bahagian Kapit telah terpilih sebagai tuan rumah bagi sambutan tahun ini di mana beberapa program akan diadakan pada 5 hingga 6 Jun depan bagi memeriahkan suasana tempatan dalam menghayati serta menghargai kedaulatan negara Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Hasil tinjauan wartawan Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) baru-baru ini mendapati rata-rata penduduk tempatan gembira dan teruja atas peluang ini yang mampu mempromosikan Kapit kepada pihak luar.

Pegawai Publisiti di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh, Andriana Ancak Intai memberitahu, penganjuran program seumpamanya akan menyebarkan kepada orang ramai berkenaan keindahan serta keunikan yang ada di bahagian tersebut.

“Saya berharap ia juga mampu meningkatkan aktiviti ekonomi di sini dengan jualan barangan kraftangan tempatan seperti pua kumbu dan manik,’’ jelasnya.

Manakala, penjawat awam, Harry Don Bosco berkata, sambutan ini akan mendekatkan lagi pihak kerajaan dengan masyarakat tempatan serta mewujudkan semangat bersatu padu dan bekerjasama antara kesemua pihak yang terlibat.

“Sambutan ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan aktiviti ekopelancongan di Kapit,’’ ujarnya.

Pendapat sama disuarakan oleh Steven Tanang dari daerah Song yang berasa teruja atas penganjuran sambutan itu yang diharap dapat membawa pulangan ekonomi kepada penduduk tempatan.

Sehubungan itu, Steven menegaskan kepentingan pembangunan sistem jalan raya yang menghubungkan semua penempatan di Kapit.

“Ini adalah bagi menyenangkan orang luar untuk berkunjung ke banyak lagi tempat menarik yang ada di bahagian ini,’’ tambahnya. 

Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Negeri Sarawak akan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jabal An Nur Kapit pada 5 Jun.

Manakala, acara kemuncak iaitu Majlis Jamuan Teh akan diadakan pada 6 Jun, jam 9 pagi di Kapit Town Square.

Pada sebelah malam pula, orang ramai akan dihiburkan dengan Konsert Simfoni diiringi orkestra di lokasi sama yang akan menampilkan penyanyi-penyanyi tempatan Sarawak.

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dijangka hadir pada sambutan tersebut sebagai Tetamu Kehormat.  -Edisi UKAS

add comment