Sambutan Hari Keputeraan YDP Agong Dapat Maklum Balas Positif Dari Warga Kapit

AHAD, 5 JUN 2022

KAPIT: Pemilihan bahagian Kapit sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini telah disambut baik oleh masyarakat tempatan.

Ketua Kampung Data Layang di Belaga, Awing Igo ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) baru-baru ini menzahirkan rasa syukur atas penghormatan diberikan kepada Kapit.

“Kita sebagai warga tempatan harus berasa bangga atas penghormatan yang diberi kepada Kapit dalam menganjurkan sambutan acara tonggak yang penuh bermakna ini,’’ jelasnya.

Manakala penjawat awam, Gingerila pula berkata, sambutan tersebut mampu menayangkan konsep Keluarga Malaysia dengan semangat perpaduan yang utuh antara komuniti pelbagai bangsa dan agama yang terdapat di Kapit.

“Sambutan ini juga akan mempromosikan Kapit dari pelbagai aspek seperti pelancongan serta memperkenalkan produk-produk tempatan kepada orang ramai, sekaligus meningkatkan pulangan ekonomi kepada penduduk di sini.

“Secara keseluruhannya, penduduk Kapit amat gembira dan sememangnya mengalu-alukan kedatangan orang luar untuk turut serta memeriahkan lagi sambutan pada 5 hingga 6 Jun ini,’’ ujar beliau.

Sementara itu, golongan belia, Mohd Faizal Junaidi dan Zareeq Afzan Abu turut berpendapat sambutan acara tonggak sebegini akan menjadikan Kapit sebuah lokasi tumpuan para pelancong bukan sahaja dari dalam Sarawak malahan juga dari dalam Malaysia secara amnya.

Dalam pada itu, mereka menaruh harapan agar pihak kerajaan akan terus memberi perhatian lebih kepada pemerkasaan golongan belia di situ melalui kaedah-kaedah seperti pembangunan prasarana pendidikan dan juga pusat perniagaan.

Pada 20 Mei lepas, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai selaku Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 menjelaskan, masyarakat Kapit akan dihiburkan dengan pelbagai pengisian program menarik seperti sebuah Konsert Simfoni diiingi orkestra pada malam 6 Jun 2022 di Kapit Town Square yang menampilkan persembahan oleh penyanyi-penyanyi tempatan.

“Sebelum itu, untuk sambutan rasmi pula, Majlis Jamuan Teh akan diadakan pada sebelah pagi di tempat sama di mana hadirin bakal dipersembahkan dengan sebuah tarian pembukaan iaitu Ngajat Pua Kumbu manakala satu video khas bertajuk ‘Mahkota Di-Raja’ pula akan diterbitkan di mana ia memaparkan keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia,’’ tambah beliau lagi.

Sambutan akan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran di Masjid Jabal An Nur Kapit pada 5 Jun. -Edisi UKAS

add comment