AHAD, 5 JUN 2022
KANOWIT: Sarawak merupakan contoh terbaik perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, demikian menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, ini dapat dilihat dalam setiap sambutan pelbagai perayaan di negeri ini yang diraikan secara meriah oleh semua masyarakat tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun pegangan politik.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berharap perpaduan yang telah terjalin sekian lama itu terus dikekalkan.
Berucap dalam majlis ‘Gawai Pangkung Tiang’ di Rumah Adrian, Bukit Temedak, Kanowit pada Ahad, Dato Sri Alexander berkata program Ngabang Gawai menjadi platfrom terbaik menziarahi sanak saudara dan kenalan yang telah lama terpisah ekoran penularan pandemik COVID-19 sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau juga berharap rakyat terus menyokong kepimpinan kerajaan semasa bagi mengekalkan kestabilan politik dan pemerintahan di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
Katanya, kerjasama erat di antara kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan pusat sekarang dilihat baik dalam memacu Malaysia ke arah peningkatan pendapatan dan ekonomi yang kekal berdaya saing.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan semasa ngabang Hari Gawai. – EDISI UKAS