Speaker DUN Sarawak Sempurnakan Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi YDP Agong

AHAD, 5 JUN 2022

KAPIT: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar telah menyempurnakan Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 di Masjid Jabal An-Nur di sini pada Ahad.

Beliau hadir mewakili Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Majlis dimulakan dengan Solat Fardu Maghrib Berjemaah, bacaan Surah Yaasin, Zikir Maharban serta Doa Kesyukuran yang diketuai Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Majlis kemudiannya diikuti dengan Solat Fardu Isyak Berjemaah sebelum para jemaah menikmati jamuan makan malam bersama dengan dif-dif kenamaan yang bukan beragama Islam.

Kira-kira 200 orang jemaah telah menyertai majlis kesyukuran tersebut dengan kebanyakan mereka terdiri daripada masyarakat tempatan Kapit.

Antara yang turut hadir ialah isteri kepada Speaker DUN Sarawak, Dato Fatimah Mohd Iskandar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab, Datuk John Sikie Tayai, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, dan Timbalan Menteri Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni.

Majlis Kesyukuran ini merupakan acara permulaan bagi Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI dengan Kapit telah dipilih sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Manakala, acara kemuncak iaitu Majlis Jamuan Teh akan diadakan pada 6 Jun, jam 9:00 pagi di Kapit Town Square.

Pada sebelah malam pula, orang ramai akan dihiburkan dengan Konsert Simfoni dan diiringi orkestra di lokasi sama yang akan menampilkan penyanyi-penyanyi tempatan Sarawak. -EDISI UKAS

add comment