SUPP Tumpu Usaha Tingkatkan Sosioekonomi Rakyat Sarawak

AHAD, 5 JUN 2022

BINTANGOR: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meletakkan visi dalam menggalakkan masyarakat Sarawak mendalami segala ilmu berkaitan budaya, sosial dan ekonomi tempatan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, SUPP juga berhasrat mempromosi dan memastikan keseimbangan ekonomi dan budaya Sarawak pada tahap yang lebih tinggi selain menaikkan taraf hidup seluruh masyarakat Sarawak yang lebih baik.

Selain itu katanya, parti itu juga mahu mengurangkan jurang kemiskinan di kawasan luar bandar dan bandar, memperkasakan ekonomi masyarakat Bumiputera dan Cina Sarawak serta mengutamakan kesejahteraan golongan belia dan wanita di negeri ini.

Sehubungan itu, Datuk Ding berharap semua ahli SUPP Cawangan Bintangor saling bekerjasama antara satu sama lain dan sama-sama bergerak sebagai satu pasukan di samping sentiasa menyalurkan maklumat dan arahan daripada SUPP Sarawak.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-63 SUPP Sarawak di Pejabat SUPP Cawangan Bintangor pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Ding juga gembira kerana SUPP Cawangan Bintangor akan mempunyai pejabat baharu tidak lama lagi.

Ujarnya, ia melambangkan pucuk pimpinan parti yang lebih baik pada masa akan datang terutamanya kepada generasi masa hadapan. – EDISI UKAS

add comment