Kerajaan GPS Komited Naik Taraf Sosioekonomi Rakyat

ISNIN, 6 JUN 2022

KAPIT: Pembinaan rangkaian jalan raya di Kapit menunjukkan kegigihan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menaik taraf sosioekonomi warga tempatan.

Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, dengan siapnya jalan yang menghubungkan Kapit, Song dan Kanowit, maka penduduk di situ bakal mengalami perkembangan ekonomi yang lebih baik pada masa depan.

“Dahulunya orang ramai hanya boleh melawat ke Kapit dari Sibu melalui penggunaan jalan sungai, namun sekarang ini kelihatan lebih ramai pengunjung datang menggunakan jalan darat.

“Ini adalah bukti Kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memandang serius berkenaan perihal memajukan negeri ini,” jelasnya pada Majlis Jamuan Teh bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI di Kapit Town Square pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, sokongan padu rakyat Sarawak kepada Kerajaan GPS sememangnya menyumbang kepada kestabilan politik di negeri ini.

“Dengan keadaan politik yang stabil serta masyarakat bersatu padu, maka ia memudahkan pucuk pimpinan untuk merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Datuk John Sikie yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan kali ini memberitahu, ia amat bermakna kerana akhirnya acara-acara tonggak dapat disambut secara fizikal setelah beberapa tahun menghadapi kekangan akibat penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Kapit untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan tersebut.

Jelasnya, selain Majlis Kesyukuran pada 5 Jun dan Majlis Jamuan Teh itu, warga Kapit juga akan dihiburkan dengan konsert muzikal khas yang menampilkan persembahan daripada artis-artis tempatan. -Edisi UKAS

add comment