Pesta Babulang Platform Pertahankan Warisan Dan Identiti Masyarakat Bisaya

ISNIN, 6 JUN 2022

LIMBANG: Pesta Babulang merupakan satu platform bagi masyarakat Bisaya di daerah Limbang menunjukkan budaya, bahasa, seni dan adat resam kepada orang ramai.

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, seperti kaum-kaum lain di Sarawak, semua ini perlu dipertahankan kerana ia adalah warisan dan identiti kepada kaum dan bangsa Bisaya.

“Dalam konteks kita di Sarawak ini, disebabkan kita pelbagai dari segi keturunan, agama, adat resam, budaya dan pelbagai perbezaan tetapi kita harus menerima hakikat bahawa kepelbagian ini harus kita raikan.

“Kita masti meraikan kepelbagaian yang kita ada ini, kita adalah masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merasmikan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau Kali Ke-17/ 2022 di Pusat Kebudayaan Persatuan Bisaya Sarawak, Kampung Batu Danau Limbang pada Sabtu. 

Dalam pada itu, ujar Datuk Amar Awang Tengah yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, kehidupan masyarakat di Sarawak tidak hanya tertumpu kepada kelompok masyarakat yang kecil sahaja sebaliknya, mempunyai semangat toleransi yang begitu kuat dan kukuh khususnya dalam mereka yang berkahwin campur.

“Walaupun kita berkahwin dengan kaum atau agama lain tetapi itu tidak akan mengubah kaum kita, kalau kita Bisaya kita akan tetap berbangsa Bisaya, kalau kita Iban, Ibanlah kita, kalau kita Melayu, Melayulah kita, kalau kita Cina, Cinalah kita, tidak ada masalah,” tegasnya. 

Ujar beliau lagi, inilah keunikan Sarawak di mana dalam kepelbagaian itu, masyarakat di negeri ini dapat hidup bekerjasama, hormat menghormati antara satu dengan yang lain serta berada dalam keadaan harmoni.

Pada majlis itu, Timbalan Premier telah mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk aktiviti Persatuan Bisaya Sarawak. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Penasihat Persatuan Bisaya Sarawak Datu Antonio Kahti Galis, Presiden Persatuan Bisaya Sarawak merangkap Pengurus Besar Lembaga Penyatuan & Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Joseph Blandoi, Pemangku Residen Bahagian Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Bebulang dan Lumba Kerbau 2022 Sebi Abang dan Temenggong Nicholas Boyok Pura.-EDISI UKAS

add comment