Rakyat Matu Perlu Bersedia Menerima Kedatangan Pengunjung

ISNIN, 6 JUN 2022

MATU: Rakyat di Daerah Matu perlu bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung dari serata tempat apabila siapnya rangkaian jalan pesisir dan jambatan di negeri ini nanti.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata infrastruktur ini akan memberi impak kepada ekonomi masyarakat di kawasan ini kerana Daerah Matu akan menjadi tumpuan setelah siapnya pelbagai projek yang sedang dalam pelaksanaan.

Antaranya Masjid Kuala Matu Baharu yang dilengkapi menara cerap bagi kawasan zon tengah Sarawak dan akan menjadi satu lagi mercu tanda untuk daerah ini.

“Masjid ini nanti akan lebih dikenali sebagai Masjid Jalan Pesisir Sarawak.

“Banyak lagi projek pembangunan yang pasti akan membawa impak positif kepada penduduk sedang giat dilaksanakan,” katanya berucap semasa merasmikan Pesta Matu 2022 bertempat di tapak pesta itu pada Sabtu lepas.

Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah melancarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk membawa Sarawak muncul negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Hanya Sarawak yang ada pelan pasca ini kerana suasana politik di Sarawak stabil,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu lagi.

Mengulas mengenai penganjuran Pesta Matu, beliau melahirkan rasa syukur kerana pesta itu dapat dianjurkan semula pada tahun ini setelah beberapa tahun tidak dapat diadakan ekoran penularan wabak Covid-19.

Katanya, selain Pesta Matu yang diadakan setiap tahun, beberapa aktiviti lain juga dalam perancangan untuk dilaksanakan sebagai tambahan bagi memperbanyakkan aktiviti tahunan di Matu.

“Selepas Pesta Matu, sebelum menjelang akhir tahun, kita merancang untuk mengadakan Regatta Matu. Selain itu, turut dicadangkan untuk menghidupkan semula Pesta Sekiyu yang sudah sekian lama diadakan sebelum ini.

“Pesta Makanan Traditional Matu juga dalam perancangan untuk diadakan di mana produk makanan tradisional dari kampung akan menjadi tema utama pesta tersebut nanti,” tambah Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda.

Terdahulu pada sebelah pagi, beliau telah menyempurnakan pra pembukaan pesta tersebut.

Beliau kemudiannya melawat gerai-gerai pameran pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Kesihatan Matu, Persatuan Melanau Daerah Matu, Jabatan Pertanian Matu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Penjara Sibu, Agro Bank Daro, CENTEXS dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan mengunjungi gerai komuniti yang disertai tujuh gerai yang melibatkan setiap penghulu dari Kampung Tian, Kampung Sekaan Besar, Kampung Kuala Matu, Kampung Jemoreng, Kampung Bawang, Komuniti Cina Matu dan Kampung Igan.

Selesai kunjungan itu, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda telah menyempurnakan sepak mula dan menyaksikan perlawanan bola sepak 9 sebelah yang berlangsung di padang bola sepak Majlis Daerah Matu Daro di tengah Pekan Matu.

Pesta Matu akan berlangsung sehingga 8 Jun ini dan akan dirasmikan penutupannya oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari. – EDISI UKAS

add comment