RM348 Juta Dilulus Bangunkan Bahagian Kapit

ISNIN, 6 JUN 2022

KAPIT: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM348 juta untuk terus membangunkan bahagian Kapit.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, ini adalah untuk menjamin pembangunan yang pesat serta menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi di kawasan itu.

“Bandar Kapit kini mengalami isu kesesakan trafik akibat daripada pembangunan rangkaian jalan raya yang menghubungkannya dengan bahagian Sibu.

“Oleh itu, saya meluluskan peruntukan sebanyak RM190 juta bagi menaik taraf jalan raya di seluruh kawasan Kapit dengan harapan ia akan terus berkembang sebagai sebuah bandar,” katanya semasa berucap pada Majlis Jamuan Teh bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI di Kapit Town Square pada Isnin.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, RM105 juta pula akan diperuntukkan bagi membangun jalan raya yang akan menghubungkan Ulu Sungai Katibas dengan Sungai Bangkit berikutan kawasan Song di Katibas kini juga sedang membangun.

Katanya, sejajar dengan aktiviti pembangunan yang berlaku di Sungai Tunoh, Kerajaan Sarawak juga akan membangunkan grid elektrik dari Kapit ke Tunoh dengan jarak sejauh 35 kilometer menggunakan peruntukan berjumlah RM53 juta.

Beliau memberitahu, semua ini adalah antara usaha-usaha yang dilaksanakan setelah Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan beliau diberi mandat besar untuk terus menerajui Kerajaan Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak menegaskan, sebagai sebahagian dari wilayah yang menubuhkan negara ini, Sarawak akan terus bersama dalam Malaysia dan membangun seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Ini adalah pendirian kita dan kita akan terus menyesuaikan diri dengan pembangunan yang sedang berlaku di seluruh negara,” tambahnya.

Seramai 500 orang jemputan telah menghadiri majlis tersebut di mana mereka dihiburkan dengan pelbagai pengisian seperti tarian Ngajat Pua Kumbu, dan tayangan video khas bertajuk ‘Mahkota Di-Raja’ yang memaparkan keunikan Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Antara yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mewakili Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak; Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertangungjawab, Datuk John Sikie Tayai; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan-Timbalan Menteri, Residen Bahagian Kapit, Nyurak Keti, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum. – Edisi UKAS

add comment