ISNIN, 6 JUN 2022
KAPIT: Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2022 di Kapit melabuhkan tirainya menerusi penganjuran Persembahan Citra Muzikal.
Konsert diadakan pada malam Isnin itu disaksikan lebih 1,000 warga Kapit terdiri dari pelbagai kaum dan agama yang berkumpul di Kapit Town Square bagi menyaksikan hiburan daripada artis-artis tempatan yang mempersembahkan nyanyian dalam pelbagai bahasa.
Antara penyanyi yang hadir membuat persembahan ialah Chien, Olivia C, Ramles Walter, Ricky Andrewson dan Bob Yusuf sambil diiringi persembahan muzikal daripada kumpulan orkestra, Prodigy.
Selain itu, konsert pada malam itu turut mempersembahkan Dramatari yang memaparkan kehidupan masyarakat Iban pada masa dahulu.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab, Datuk John Sikie Tayai serta isteri, Datin Melia Gelen turut meluangkan masa menyaksikan konsert tersebut.
Sejurus selepas persembahan selesai, beliau bersama dif-dif kehormat serta penduduk tempatan bergerak ke Kapit Waterfront bagi menyaksikan demonstrasi bunga api.
Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Jefferson Jamit Unyat; Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai; Residen Bahagian Kapit, Nyurak Keti dan Temenggong Datuk Wilfred Billy Panyau. -Edisi UKAS