Eco-Drum Borneo Jazz Ketengahkan Konsep Pemeliharaan Alam Sekitar

SELASA, 7 JUN 2022

MIRI: Penganjuran Eco-Drum Borneo Jazz ini adalah bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun. 

Menurut Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Karambir Singh, bengkel ini memainkan peranan penting yang berkisar kepada “pemuzik untuk alam sekitar” dengan menggunakan barang-barang guna semula dan mempromosikan konsep 5R iaitu Refuse (menolak), Reduce (mengurangkan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula) dan Recovery (pemulihan/diperbaharui). 

“Mesej persekitaran sangat penting kerana perubahan yang berlaku sangat pantas seperti bencana, perubahan iklim dan sebagainya. 

“Kita tidak mempunyai banyak masa untuk membuat pusingan ke belakang dalam mencari penyelesaian alam sekitar. 

“Justeru, kami berharap orang ramai menerima pakai ekosistem 5R dalam penjagaan alam sekitar,” katanya semasa ditemui selepas hadir di Bengkel Eco-Drum Borneo Jazz di Coco Cabana, Miri pada Ahad. 

Jelas Kaunselor Karambir lagi, objektif utama bengkel ini juga adalah untuk mendidik orang ramai dan pada masa yang sama membina ekosistem pelancongan muzik untuk memartabatkan bandar peranginan yang indah ini sebagai budaya dan pusat muzik.-EDISI UKAS

add comment