Penglibatan Wanita Lawas Dalam Aktiviti Perkumpulan Menunjukkan Peningkatan

SELASA, 7 JUN 2022

LAWAS: Penglibatan golongan wanita di Lawas dalam aktiviti perkumpulan kini telah menunjukkan peningkatan. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong berkata, penglibatannya cukup berbeza dengan sambutan program yang diterima sangat luar biasa dan menggalakkan. 

Ini termasuklah pelbagai aktiviti yang melibatkan kemasyarakatan, sosioekonomi, kebudayaan dan sebagainya. 

“Ini merupakan satu peningkatan wanita kita di Lawas. Sebelum ini kalau perhimpunan wanita PPWS di Lawas bukan macam ini. 

“Sekarang ini jumlahnya ramai juga dan aktivitinya yang mendapat sokongan wanita seperti majlis malam ini dan mungkin pada siangnya ada aktiviti lain dan meningkat. Ini yang kita mahu dan kita inginkan di masa-masa akan datang,” katanya. 

Beliau berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Makan Malam Sambutan Hari PPWS Ke 60 Tahun Peringkat Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Ahad.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lawas itu turut berbesar hati berkongsi kegembiraannya apabila satu lapangan terbang baharu akan dibina di Sundar bagi menggantikan Lapangan Terbang Lawas sedia ada. 

Jelasnya, lapangan terbang baharu itu akan lebih besar dan luas berbanding Lapangan Terbang Lawas yang sedia ada itu. 

“Kita di Lawas mendapat satu kelulusan Lapangan Terbang Baharu Lawas. Lapangan terbang baharu ini bukan yang kecil.

“Kalau mengikut kebiasaan daripada yang kita ada sekarang dipangil ‘Stol Port’. 

“Jika ia ditingkatkan kepada satu lapangan terbang yang panjangnya 1,500 sahaja. Jadi, kita di Lawas bukan minta 1,500, tetapi 2,500 luasnya,” jelasnya. 

Terdahulu Pengerusi PPWS Daerah Lawas Suriyah Jinin memberitahu Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) ini sudah ada di Sarawak sejak tahun 1962 dan kini berusia 60 tahun.

Sehingga kini, PPWS di Lawas telah mempunyai 26 buah cawangan yang aktif dengan keahlian pelbagai kaum. 

Pada majlis itu, Dato Henry telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk PPWS Lawas mengadakan aktiviti tahunan. 

Hadir sama wakil Pegawai Daerah Lawas Awangku Faizal Dato Pengiran Jawa Pengurus Agrobank Lawas Mohamad Rabau, Pengerusi PPWS Cawangan Limbang Dayang Suridah Awang Superi dan Kaunselor Awang Imran Awang Damit. -EDISI UKAS

add comment