SELASA, 7 JUN 2022
KAPIT: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan peruntukan melebihi RM368 juta untuk aktiviti pembangunan di Kapit bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI pada Isnin.
Setelah mengadakan lawatan kerja untuk meninjau serta mendengar taklimat berkenaan pelaksanaan projek di Kapit Lily Pond, beliau meluluskan tiga projek pembangunan.
Difahamkan, projek-projek tersebut ialah projek naik taraf Kapit Lily Pond dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, projek pembinaan Dewan Serbaguna Masyarakat Nanga Merit bernilai RM5 juta, dan juga projek ‘Proposed Linking Road’ dari Jalan Jiwa Murni ke Pejabat Daerah Kecil Nanga Merit/Pekan Nanga Merit/Rumah-Rumah Panjang Nanga Merit di daerah Kapit dengan kos sebanyak RM8 juta.
Terdahulu ketika berucap pada Majlis Jamuan Teh bersempena dengan sambutan acara tonggak berkenaan di Kapit Town Square, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut mengumumkan kelulusan peruntukan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan di bahagian Kapit.
Projek-projek berkenaan telah dikemukakan oleh wakil-wakil rakyat dari daerah Kapit, Song, Belaga dan juga Bukit Mabong.
Projek yang diumumkan bagi daerah Kapit termasuk cadangan naik taraf Jalan Bleteh (dari Pencawang Sarawak Energy Berhad hingga kawasan lampu isyarat sedia ada) dengan kos sebanyak RM56.04 juta, cadangan naik taraf Jalan Airport ke Jalan Penghulu Nyanggau di mana RM98.5 juta akan diperuntukkan, serta cadangan membina dan menyiap Jalan Bukit Goram/Nanga Yong (Pakej B, Fasa 2) bernilai Rm36 juta.
Manakala, dua projek baharu telah diluluskan untuk daerah Song iaitu cadangan pembinaan Jalan R1 JKR Standard ke Hulu Sungai Bangkit dengan peruntukan sejumlah RM70 juta, dan cadangan pembinaan Jambatan Hulu Katibas di Nanga Bangkit bernilai RM35 juta.
Daerah Bukit Mabong juga tidak ketinggalan dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM58 juta untuk projek penyambungan ‘Medium Voltage Covered Conductor’ (MWC) dari Jalan Baleh Dam Access melalui Jalan Balak Serangkang dan Jalan Tunoh Access sepanjang 35 kilometer.
Kelulusan semua projek tersebut menunjukkan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak dalam menjamin pembangunan ekonomi yang lebih pesat di bahagian Kapit untuk masa akan datang, sekaligus meningkatkan lagi janaan pendapatan untuk warga tempatan. -Edisi UKAS