RABU, 8 JUN 2022
SINGAPURA: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah mengadakan pertemuan dengan menteri di Kementerian Perdagangan dan Industri, dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling sempena lawatannya ke Singapura pada Selasa.
Dalam pertemuan itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak bersama Low membincangkan topik kepentingan bersama dan kerjasama, khususnya mengenai pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Singapura merupakan rakan kongsi penting kepada Sarawak dalam perniagaan kerana jarak yang dekat dan juga kepentingan Singapura dalam perdagangan global.
Hadir sama dalam pertemuan itu Penasihat (PKS) MINTRED Datuk Noroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron dan Pegawai Khas MINTRED Datu Liaw Soon Eng, manakala delegasi Singapura terdiri daripada Pengarah Kanan (Bahagian ASEAN & Asia Tenggara dan Oceania) MTI Ho Chee Hin, Timbalan Pengarah (Bahagian Asia Tenggara & Oceania) MTI Melissa Lee, Penolong Pengarah Kanan, (Bahagian Asia Tenggara & Oceania) MTI Koh Liang Wei dan Pengurus Kanan, Bahagian Perkongsian Serantau EDB James Chia.-EDISI UKAS