Lot Kediaman SPK Dan Rumah Di DUN Jemoreng Akan Ditambah

RABU, 8 JUN 2022

MATU: Lot Kediaman Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi projek perumahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng akan ditambah termasuk membangunkan beberapa rumah di kawasan tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pada asalnya, sebanyak 20 unit yang dibina hanyalah sebagai percubaan, namun projek tersebut mendapat permintaan ramai.

Beliau percaya, ini mungkin disebabkan oleh kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak.

“Pertamanya ialah kos infrastruktur tidak diberikan kepada pembeli kerana ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

“Sebenarnya secara purata kos infrastruktur seperti tembok dan tanah termasuk elektrik dan bekalan air serta jalan raya, satu lot semuanya ditanggung Kerajaan Sarawak dengan kos lebih kurang RM150,000,” katanya dalam sidang media pada Majlis Perasmian Mula Kerja projek pembinaan Masjid Kuala Matu di sini pada Rabu.

Selain itu jelasnya, pembayaran deposit sebanyak RM10,000 daripada Kerajaan Sarawak untuk pembeli juga antara sebab permintaan itu bertambah.

Turut sama dalam sidang media ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Imbudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya; Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki; Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Sri Zaidi Mahdi serta Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad dan Pemangku Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili.-EDISI UKAS

add comment