Patuhi Peraturan Jalan Raya Demi Keselamatan Diri Sendiri

RABU, 8 JUN 2022

MIRI: Kempen keselamatan jalan raya diadakan adalah bertujuan untuk memberikan pendidikan dan sekaligus meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, adalah menjadi  tanggungjawab pengguna dalam mengamalkan budaya keselamatan jalan raya bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan setiap tahun. 

“Masalahnya ada pengguna-pengguna jalan raya, mereka memang tidak mematuhi peraturan keselamatan jalan raya. Misalnya, ada pemandu kereta yang tidak tali keledar, tetapi apabila ada polis dan JPJ di hadapan baharulah menggunakannya. 

“Kita mengamalkan keselamatan bukannya sebab adanya polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi itu adalah tanggungjawab setiap pengguna jalan raya,” katanya semasa ditemui selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Endaya Construction Sendirian Berhad Kintown Petrol Station (Permyjaya) Sdn Bhd Miri pada Selasa. 

Tegas Dato Sri Lee lagi, setiap pengguna jalan raya haruslah mematuhi segala peraturan jalan raya demi keselamatan diri sendiri. 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menegaskan betapa perlunya diadakan kempen seperti ini kerana jumlah kenderaan di atas jalan raya akan bertambah dan ini pastinya akan meningkatkan kadar kemalangan jalan raya. 

“Semasa perayaan itu memang bilangan kenderaan dan pengguna jalan raya banyak bertambah. 

“Apabila bilangannya banyak bertambah maka kemalangan bilangannya akan bertambah jikalau pengguna jalan raya tidak berhati-hati apabila memandu dan menggunakan jalan raya,” ujarnya. 

Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Endaya Construction Sdn Bhd Peter Wong, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Jurutera Bahagian JKR Miri Chong Chi Fan, Ketua JPJ Cawangan Miri dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol.-EDISI UKAS

add comment