KHAMIS, 9 JUN 2022
KUCHING: Isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah melakukan kunjungan hormat ke atas isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni di Istana Seri Kinabalu di Sabah pada Khamis.
Ketibaan Puan Sri Datuk Amar Juma’ani serta rombongan di Kota Kinabalu pada 8 Jun lepas telah disambut oleh isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datin Norani Salleh; isteri kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datin Malianah Ugau; Isteri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Dr. Nuinda Alias; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pentadbiran), Diyanah Abdullah serta pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Sabah.
Kunjungan hormat itu diadakan sebagai lawatan mesra di samping membincangkan perkembangan industri tekstil songket dan keringkam di Sarawak.
Selain itu, ia juga membincangkan kepentingan memelihara dan memulihara warisan makanan dan tekstil agar warisan tradisi ini maju seiring dengan pembangunan yang inklusif dan menjangkau pencapaian bersifat komprehensif sejajar dengan perkembangan pesat ekonomi digital.
Kunjungan hormat itu berlangsung selama satu jam sebelum rombongan beredar ke Dewan Perre Irra, Istana Seri Kinabalu untuk jamuan tengah hari.
Manakala, pada malam Khamis, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani serta rombongan akan hadir ke Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre.
Hadir sama mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Dr. Sabariah Putit dan Pengerusi Sarawak Media Group, Dato Norhyati Ismail. -Edisi UKAS