KHAMIS, 9 JUN 2022
KUCHING: Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Bersama Women Leadership Foundation (WLF) dimeterai untuk memberi inspirasi kepada anak muda Sarawak menjadi pemimpin wanita dan berdaya saing.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Women Leadership Foundation ialah sebuah organisasi yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membangun dan mencungkil bakat wanita menjadi pemimpin di setiap lapisan masyarakat.
“Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya telah merangka dan melaksana pelbagai program dan inisiatif bermatlamat untuk memastikan wanita terlibat secara aktif dan dapat menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak.
“Terutama semasa pandemik COVID-19 yang lalu, kaum wanita banyak menyumbang dalam memastikan makanan senantiasa ada di atas meja sekaligus menjana pendapatan mereka dengan penghasilan produk makanan yang dijual melalui aplikasi ‘whatsapps’ sudah memadai,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara KPWK bersama Women Leadership Foundation (WLF) di Borneo Convention Centre, Kuching pada Khamis.
Justeru katanya, untuk mempertingkat kapasiti kepimpinan wanita, Kementerian telah melaksanakan Women Leadership Training Program sejak tahun 2019 bagi mengasah kemahiran insaniah pemimpin dan pemimpin pelapis.
“Salah satu hasil segera daripada MoU ini ialah Program Pementoran yang dibuat dengan teliti selama 10 bulan di mana mentee akan digandingkan dengan mentor berpengalaman.
“Program rasmi ini akan bermula esok di Hotel Pullman, Kuching Sarawak yang melibatkan seramai 25 orang calon dari ‘bootcamp’ pertama menjadi peserta untuk program mentoring.
“Daripada program ini, kami yakin golongan wanita akan dapat meningkatkan Kemahiran, Inovasi, Kecekapan Kepimpinan & Pengetahuan (SILK),” ujar beliau lagi.
Hadir sama Naib Yang Dipertua HIKMAH, Toh Puan Hajah Hayati Haji Ahmat; Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohammad Razi Sitam; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Datu Dr. Hajah Rashidah Bolhassan; Pengerusi Women Leadership Foundation (WLF) Datuk Dr. Hafsah Hashim dan tetamu kenamaan yang lain.-EDISI UKAS